About Me

My photo
Tikam Batu, Kedah, Malaysia

Followers

Thursday, September 2, 2010

Buah Melaka & Pengutip Derma


      Alhamdulillah., syukur ke hadrat Illahi dgn limpah kurnia dan kasihNya, dapat lagi aku bernafas dengan udaraNya, merasai nikmatNya dan berbahagia dengan ihsanNya. Kita di fasa terakhir bulan Ramadhan iaitu keselamatan.  Di sini aku ingin berkongsi kisah dengan pelawat di alam maya ini. Aku namakan kisah ini, Buah Melaka & Pengutip Derma. Ini kisah benar yang aku alami semasa bulan puasa ini.

       Pagi jumaat yang bening, sekitar jam 8.00 pagi, aku bergegas ke kedai runcit di hujung jalan kira-kira 60m dari rumah aku. Aku tinggal di rumah "burung" di tingkat empat (paling atas), gelaran orang kampung aku kepada rumah flat di KL ini..Heehee.. Ku cepatkan langkah kaki menuruni tangga dan terus ke kedai membeli semua bahan-bahan untuk menyediakan buah melaka. Setiba saja di rumah, tanpa berlengah aku terus menguli adunan. Selepas 2 jam, wallaaa, siap sudah kuih buah melaka.

     Selesai solat asar, aku mula membungkus 5 plastik kuih buah melaka. Kalau di kampung, kita bertukar-tukar juadah dengan tetangga. Memang seronok sebab masak satu jenis masakan, tetapi bila berbuka dapat menikmati dua tiga jenis selain mengeratkan lagi silaturrahim. Oleh kerana aku di negeri orang, aku pun bercadang untuk hantar kuih ini kepada jiran-jiran. Aku tidak mengharapkan balasan, cuma kepuasan sekiranya dapat memberi tetangga juadah yang tidak seberapa dan memakmurkan lagi bulan Ramadhan. Jadi apa kaitan PENGUTIP DERMA dengan kisah ini?

    Bungkusan pertama aku kirimkan kepada teman serumah yang ingin keluar untuk diberikan kepada “Uncle guard” di bawah. Rumah pertama yang aku ketuk adalah rumah keluarga depan rumah aku. Hari sebelumnya, suami akak tu menghantar bubur hitam, jadi aku pulangkan bekasnya berserta buah melaka. Tiga kali aku memberi salam tetapi tiada jawapan. Aku rasa dia ada di rumah kerana aku mendengar suara anak dia. Mungkin tidur. Tidak mengapalah, aku gantungkan saja di pintu besi itu dan berharap dia nampak nanti. Seterusnya rumah sebelah akak, juga tiada jawapan. Rumah sebelah aku, selepas tiga kali salam juga tiada jawapan. Aku pun terus mengetuk pintu besi rumah orang lain yang sama aras dengan rumahku, juga tiada jawapan.
    
     Setiba di sebuah rumah ini, aku mendengar jelas suara penghuninya bercakap dengan telefon, aku pun memberi salam. Mungkin dia tidak dengar atau…aku pun tidak tahu, dia terus bercakap dengan kuat. Selepas salam yang ketiga, dia diam, mungkin dia mendengar salamku, namun pintu masih tidak dibuka. Dengan hampa aku terus ke rumah hujung kerana penghuninya baru pulang, dan aku terus memberi kepada akak, “ni ada kuih sikit kak..”. Aku pun turun ke aras tiga, agak gelap laluannya, sunyi. Lalu aku pun ternampak seorang makcik sedang memasak di dapur dan aku pun terus memberi salam dan mengetuk pintunya. Mungkin dia khusyuk memasak dan tidak hiraukan orang di luar.

      Berbaki lagi dua bungkus, jadi aku hanya makan sendiri di rumah. “…Saya bukan pengutip derma, saya cuma nak bagi kuih…”. Perlukah aku laungkan slogan itu ketika mengetuk rumah orang yang berpenghuni? Mungkin mereka takut nak buka pintu sebab ada "pengutip derma" di luar. 

Sekian sahaja coretan yang panjang lebar ini, aku harap kisah ini tidak menyentuh mana-mana individu. Wassallam.


1 comment:

Sila tinggalkan komen ada di sini: